Pembaca Warkah Tinta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Instagram

05 September 2016

Enam Jam Itu Tidak Cukup

Kereta dihidupkan. Jam menunjukkan pukul 6.15 minit pagi. Saya melihat ke arah papan pemuka kereta, menanti masa enjin menjadi sedikit panas sebelum bergerak.

Batang gear ditolak ke arah gear satu, brek tangan pula diturunkan, dan kemudian pedal ditekan. Kereta Viva yang diparkir di hadapan rumah bergerak meninggalkan tempat ia ditinggalkan semalaman.

Saya memandu keluar dari arah Hulu Kelang menyusuri Jalan Lingkaran Luar 2 yang sedia maklum oleh warga Kuala Lumpur sebagai salah satu jalan utama yang begitu sesak, bukan sahaja pada waktu puncak, juga pada waktu malam dan hujung minggu.

Pemanduan saya agak santai, kerana tidak perlu bersesak-sesak dengan pengguna jalan raya yang lain.

Perjalanan sejauh lebih kurang 65 kilometer ke sekolah melalui Putrajaya dan Jenderam mengambil masa lebih kurang satu jam, jika tidak menempuh kesesakan jalan raya.

Walaupun saya bertugas pada sesi petang, namun saya merasakan perlunya saya hadir dengan lebih awal. Tugasan yang boleh dikatakan terlalu banyak melebihi daripada waktu bertugas menjadi satu sebab peribadi saya untuk hadir dengan lebih awal.
Suatu ketika dahulu di dalam sebuah bilik mesyuarat.
Waktu bertugas kami hanyalah lima jam, bermula jam 1.00 tengah hari sehingga 6.00 petang. Tiga jam daripadanya, bermula 2.30 petang sehingga 5.30 petang adalah waktu PdP, waktu pembelajaran di dalam bilik darjah. Maka berbaki dua jam untuk melaksanakan RPH, menanda buku, menyiapkan fail, kelas tambahan, kelas Iqra' dan sebagainya.

Itu belum lagi sekiranya ada tugas-tugas 'khas' yang mengiringi tugas-tugas hakiki.

"Syahmi, tolong fotostatkan sepuluh salinan."
"Syahmi, macam mana nak edit surat ni?"
"Syahmi, e-mailkan kepada PAID (pejabat agama daerah)."
"Syahmi, hantar buku kedatangan, akak nak hantar riten."
"Syahmi, tolong pasang bendera."
"Syahmi, tengokkan akaun e-Spek akak ni, tak boleh nak masuk."
"Syahmi, hari ni ada mesyuarat, uruskan kelas-kelas."
"Syahmi...!"

Secara peribadi, saya suka apabila saya menjadi tumpuan, saya dipanggil untuk membantu tugas, atau apa sahaja pertolongan berkaitan kerja ketika di tempat kerja. Tugas atau bentuan seperti ini menjadikan kehadiran saya di tempat kerja dihargai sebaiknya.



Namun, tugasan tambahan seperti ini menjadikan kerja yang sedia ada, ada kalanya menjadi tertunggak.

Itu belum lagi campur masa yang dihabiskan ketika 'sesi menggosip', waktu solat, makan, main fon, bisnes online, dan sebagainya yang tiada kena-mengena dengan tugas.

Akhirnya, fail-fail terbengkalai untuk disiapkan, keceriaan tidak dapat dilaksanakan. Kerja yang terhasil pula rendah kualitinya akibat dilaksanakan secara tergesa-gesa dan last minute.

Akan hilanglah keberkatan dalam hasil gaji yang diterima sekiranya dalam tempoh bertugas, kita disebukkan dengan perbuatan yang tiada kena-mengena dengan kerja yang diamanahkan untuk kita laksanakannya.

Langkah terbaik, saya melebihkan masa bertugas saya dua ke tiga jam sehari secara purata, bertujuan untuk menggantikan masa yang dibazirkan dengan perbuatan yang tidak berkaitan.


Namun, terbaru, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Krishnam dilapor meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mengurang masa bekerja kepada enam jam sehari. Alasannya, melihat kepada negara Sweden yang melaksanakannya.


Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan cadangan tersebut walaupun ia dapat memberikan kelebihan kepada penjawat awam itu sendiri.

Sekiranya waktu 8 jam bertugas itu sendiri pun, masyarakat merungut tentang teruk dan lembapnya khidmat yang penjawat awam berikan walaupun saya yakin, sebahagian besarnya bukan salah pejawat awam tersebut, inikan pula mahu dikurangkan pula masa bertugas.



Entah la nak... Tak tahulah nak kata apa...

Teringat pula saya kepada satu kata-kata menyebut,
“Ask not what your country can do for you; ask what you can do for your country.”
John F. Kennedy

Tinta mencoret: Apa sumbangan kita kepada Negara?

SRA Giching, Sepang SDE

04 September 2016

Koleksi Rakan Bisu

http://jacquelineteo.com/time-to-look-for-another-job/
Mata membulat, melihat skrin komputer riba yang terpasang.

Laman sesawang Facebook diakses masuk. Kelihatan begitu ramai yang sedang berada di atas talian.

Daripada berpuluh-puluh nama yang tertera di skrin, hanya sedikit sahaja yang saya kenal di alam nyata, mungkin dalam tak sampai sepuluh peratus. Selebihnya hanya sekadar memenuhi senarai rakan Facebook sahaja.

Hati kecil berkata, tiada berguna jika senarai itu hanya hiasan tanpa dikenal siapakah yang berada di sebalik nama tersebut.

Sentiasa saya gagahkan diri untuk menyapa mereka yang nama akaunnya tertera di situ. Daripada puluhan yang saya hantar mesej, hanya sebahagian kecil sahaja yang membalasnya.

Sibuk, mungkin.

Tidak mungkin sibuk kalau statusnya kerap dikemaskini, gambar pula sering dimuatnaik.

Anggaplah seperti mesej tersebut semacam satu gangguan kepada mereka.


Manusia kini hanya dengan dunia mereka sendiri, lebih selesa berada dalam kelompok mereka tanpa cuba untuk keluar darinya.

"Aku Orang Kaya, mana layak nak berkawan dengan kau."
"Aku Alim. Kau pula fasik, ahli Neraka. Pergi jauh-jauh."
"Aku Bijak, kau bodoh. Ade hati nak kawan dengan aku."
"Aku Melayu, kau tu keling. Berambus...!"
"Kau siapa? Tetiba je menyemak..."

Oh, sungguh hina manusia yang mementingkan darjat dan meletakkan insan lain dalam kasta-kasta.

Bukankah Allah telah berfirman,
http://www.sacred-texts.com/isl/quran/04902.htm
"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa (bukan sebab keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Lagi Maha Dalam Pengetahuan-Nya."

Itu dulu. Kini, aktiviti di alam maya dikurangkan. Saya cuba melangkah keluar, berhadapan dan 'berkenalan' dengan manusia dalam alam nyata, 'bermain' dengan 'benda hidup', daripada berinteraksi dengan nyalaan skrin dan bunyi audio yang bersifat 'mati'.

Berkenalanlah dengan semua manusia, sama ada setaraf mahupun tidak, mulia ataupun hina. Di situ kita akan dapat satu anugerah Allah yang akhirnya menjadikan kita semakin bersyukur dan semakin bersabar.


Rasulullah Sallallahu `Alayhi Wasallam pernah bersabda:
 تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف أو كما قال
"Berilah makan dan ucapkanlah salam kepada mereka yang kamu kenal dan juga yang kamu tidak kenal."
HR al-Bukhari

Jangan jadi sombong. 'Menyautlah' sapaan orang lain.
Jangan jadi sombong. Bertegurlah dengan Salam.
Jangan hanya tahu menambah koleksi rakan maya, namun hanya membisu dengan koleksi tersebut.

Bergambar dengan pengantin, Arif Abd Aziz dengan pasangan. Ni antara individu yang saya muka kenal melalui medium maya yang pada mulanya berurusan berkaitan investment yang akhirnya menjadi sahabat. Maaf muka agak berserabut.
Tinta mencoret: Tebarkanlah Salam antara kita...

Hulu Kelang, Kuala Lumpur WP